Thursday, January 5, 2012

5,000 saksi gerhana bulan

ARKIB : 19/12/2011
Fenomena gerhana bulan yang dirakam ANGKASA pada 10 Disember 2011.


Kira-kira 5,000 orang membanjiri Planetarium Negara, Kuala Lumpur pada 10 Disember lalu bagi menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang dapat dilihat bermula daripada pukul 7.30 malam hingga 1 pagi.

Menurut kenyataan Planetarium Negara, selain Malaysia, sebahagian masyarakat Asia lain dan Australia berpeluang menyaksikan fenomena tersebut yang dapat disaksikan semula oleh rakyat Malaysia pada tahun 2014.

Program anjuran Planetarium Negara di bawah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) turut diisi dengan pelbagai aktiviti selain pencerapan fenomena berkenaan menggunakan kemudahan teleskop yang disediakan khas.

''Antara aktiviti-aktiviti tersebut adalah pertandingan space hunt, pencerapan planet Musytari, kuiz dan taklimat gerhana dari sudut sains,'' kata kenyataan itu.

Selain itu, program turut diisi dengan pameran mengenai bulan dan juga menonton tayangan dokumentari sains angkasa.

Pada masa sama, sebanyak 1, 000 kotak tin Eclipse Mints telah diedarkan kepada pengunjung sumbangan daripada sebuah syarikat.

Kata kenyataan itu lagi, kira-kira 500 pasang cermin mata 3D turut diberikan kepada orang awam sumbangan daripada pihak Starfield Instruments Supply.

Syarikat terbabit juga turut menaja lima buah teleskop kepada lima buah kumpulan pemenang aktiviti space hunt.

Pada program kali ini, Planetarium Negara telah bekerjasama dengan Persatuan Astronomi dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antaranya adalah Starfield Instruments Supply, Persatuan Kaji Bintang Starfinder dan Kelab PROSTAR Kuala Lumpur.

Pihak lain termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Persatuan Astronomi Stargazer Methodist College Kuala Lumpur dan Persatuan Astronomi Starhunter.

Persatuan-persatuan ini telah menyediakan kira-kira 20 buah teleskop bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan permukaan bulan semasa fenomena ini berlaku dengan lebih dekat lagi.

Planetarium Negara juga telah berkerjasama dengan Jabatan Mufti Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Perak, Balai Cerap Negara Langkawi, Balai Cerap Selangor dan Balai Cerap Mini Dr Rowi serta ShahGazer Observatory.

Pihak lain yang turut serta ialah Falak Online iaitu Portal Astronomi Amatur Malaysia PUSKAL Sabah dan Sekolah Menengah (Persendirian) Hin Hua Klang.

Mereka terlibat untuk mengemaskini maklumat dan memasukkan visual gerhana bulan dari tempat masing-masing semasa gerhana bulan penuh ini berlaku dalam laman facebook Malaysia Lunar Eclipse.

Dengan adanya kerja-kerja tersebut ia memberi peluang kepada mereka yang mungkin tidak dapat menyaksikan gerhana akibat cuaca buruk atau mendung sepanjang gerhana berlaku.

Selain itu juga, siaran langsung fenomena ini turut dapat disaksikan menerusi live streamingmenerusi www.angkasa.gov.my

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pengarah ANGKASA, Dr. Mustafa Din Subari, Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Nordin Ahmad dan Pengarah Bahagian Pendidikan dan Sains Angkasa (ANGKASA),Azreena Ahmad

SOURCE: KOSMO ONLINE



No comments:

Post a Comment